KUALA NERANG 24 Jun – Lebih 65 peratus premis Kerajaan di seluruh Negeri Kedah sudah melaksanakan program pengosongan tangki septik sejak ia diperkenalkan di negeri ini dua tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK), Dato’ Ir Abdul Kadir Mohd Din berkata, sehingga 18 Jun 2014, sebanyak 10 program pengosongan tangki septik sudah dilaksanakan di premis seluruh negeri dalam tempoh dua tahun.
Katanya, IWK tidak menghadapi sebarang masalah menjalankan program itu di premis Kerajaan, namun dalam masa sama IWK mendapati perlu untuk meningkatkan kesedaran orang ramai.
“Bagi pihak Kerajaan tidak timbul masalah untuk melaksanakan kempen ini, namun kita dapati kesedaran orang ramai masih rendah dan ia memerlukan usaha yang lebih bagi membolehkan mereka turut serta dalam program ini.
“Tahap kesedaran masyarakat terutamanya pemilik rumah persendirian yang menggunakan tandas curah tanpa sistem yang betul di kawasan luar bandar masih rendah. Mereka masih tidak jelas mengapa program pengosongan tangki septik ini penting untuk membantu memelihara sumber ini,” katanya pada Kempen Pengosongan Tangki Septik Individu di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Syed Ahmad, di sini.
Menurutnya, program pengosongan tangki septik ini sangat penting kerana ia menjadi antara langkah utama yang perlu dilakukan semua pihak untuk membantu memelihara sumber air.
Tambahnya, dalam kebanyakan kes yang menyebabkan berlakunya kekurangan air adalah berpunca daripada sumber air sedia ada yang tercemar.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pedu, YB. Kama Noriah Ibrahim berkata, beliau berharap penduduk terutamanya di kawasan luar bandar supaya cuba mengikuti program ini untuk sama-sama membantu mengurangkan pencemaran.
“Memang agak sukar untuk program ini dilaksanakan di kawasan terbabit, namun saya percaya jika usaha berterusan dilakukan mereka boleh menerimanya secara berperingkat,” ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan